Politik

DAP Bimbang Konflik Terbuka Pimpinan Pulau Pinang, Usaha Damai Sedang Diatur

KUALA LUMPUR: Kepimpinan pusat DAP menyuarakan kebimbangan terhadap pertelingkahan terbuka antara dua pemimpin kanan parti di Pulau Pinang yang dilihat boleh menjejaskan imej serta kestabilan dalaman parti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbalahan antara Chow Kon Yeow dan Lim Guan Engberkaitan isu cukai tanah perlu ditangani segera melalui saluran dalaman parti.

Menurut beliau, kepimpinan parti memandang serius situasi tersebut yang disifatkan sebagai tidak sihat dan tidak sesuai untuk diselesaikan secara terbuka.

“Perbezaan pandangan tidak sepatutnya dibahaskan secara terbuka sehingga boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa disiplin parti perlu dipatuhi oleh semua pemimpin, terutama dalam mengurus isu dasar awam yang melibatkan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, satu pertemuan melibatkan kedua-dua pemimpin berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap konflik yang timbul.

Dalam masa sama, Loke menjelaskan bahawa walaupun perbezaan pandangan itu wujud, ia perlu ditangani secara berhemah agar tidak menjejaskan fokus utama parti dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Isu berkenaan berpunca daripada perbezaan pendirian terhadap pelaksanaan kadar cukai tanah baharu di Pulau Pinang, yang mencetuskan polemik antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Langkah meredakan ketegangan ini dilihat penting bagi memastikan perpaduan dalam parti terus terpelihara, selain mengelakkan kesan negatif terhadap pentadbiran negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *