Bekalan Petroleum Negara Kekal Stabil, Kerajaan Sedia Pelan Kontigensi
KUALA LUMPUR: Bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi walaupun dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, dengan kerajaan telah menyediakan pelan kontigensi bagi memastikan kelangsungan bekalan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali menerima tempias krisis tenaga global, namun keadaan dalam negara masih terkawal dan berada pada tahap bersedia.
Menurut beliau, pelan kontigensi yang disediakan termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya berlaku gangguan berpanjangan terhadap rantaian bekalan global.
Kerajaan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) serta pemain industri turut memantau rantaian bekalan petroleum setiap hari bagi memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara.
Selain itu, sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dilaksanakan secara berterusan bagi membolehkan maklum balas diperoleh dengan pantas, sekali gus membantu penyelarasan tindakan yang lebih berkesan.
Dalam masa sama, kerajaan memberi perhatian terhadap risiko gangguan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang boleh menjejaskan aliran minyak global dan meningkatkan tekanan terhadap harga.
Langkah proaktif ini mencerminkan kesiapsiagaan kerajaan dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, selain melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran global semasa.
